Satu Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) bakal dibangunkan sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron yang berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang turut dihadiri menteri-menteri serta ketua-ketua jabatan dan agensi terlibat kelmarin.
Pelan ini adalah di antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN). Ianya akan menyentuh keseluruhan ekosistem dron di Malaysia daripada undang-undang, penambahbaikan proses mendapatkan permit, pembangunan teknologi dron tempatan, adaptasi teknologi dron di dalam pasaran serta pembangunan bakat di dalam industri dron seperti pengendali dron. Inisiatif ini akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi yang mempunyai program dan inisiatif berkaitan dron di Malaysia.
Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation atau MRANTI bertindak sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 akan melaporkan kemajuan kepada ahli majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.
Mesyuarat juga memaklumkan Sistem Pengurusan Trafik Pesawat Tanpa Pemandu (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron serta pemantauan ruang udara oleh pihak CAAM dan seterusnya mengurangkan kerenah birokrasi yang dihadapi oleh pemain industri dron.