CAAM merupakan singkatan kepada Civil Aviation Authority of Malaysia atau Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia. Sebelum ini ia dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam atau Department of Civil Aviation (DCA).
Untuk pengetahuan anda, CAAM merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia pada tahun 1969. Berkuat kuasa pada 19 Februari 2018, DCA telah dimasukkan ke dalam badan berkanun yang dikenali sebagai CAAM.
Secara mudahnya, CAAM merupakan badan yang bertanggungjawab untuk menjaga segalanya yang berkaitan penerbangan awam di Malaysia ini antaranya dari segi:
• Operasi penerbangan awam.
• Mengawasi dan mengawal selia keselamatan penerbangan awam.
• Mengawal selia operasi perkhidmatan dan kemudahan lapangan terbang.
• Menyelaras operasi mencari dan menyelamat.
• Bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penyiasatan kemalangan pesawat dan insiden serius.
Tugas CAAM Berkaitan Dron
Seperti yang anda sedia maklum, dron termasuk dalam kategori Sistem Pesawat Tanpa Pemandu atau Unmanned Aircraft System (UAS). Kategori UAS adalah seperti berikut:
1. Sistem Pesawat Kecil Tanpa Pemandu
Selain daripada belon atau layang-layang, apa-apa yang diterbangkan namun mempunyai jisim kurang daripada 20 kilogram tanpa bahan api termasuk apa-apa barang atau peralatan yang dipasang di dalam atau pada pesawat ketika permulaan penerbangan.
2. Pesawat Pengawasan Kecil Tanpa Pemandu
Ia merupakan pesawat kecil tanpa pemandu yang dilengkapi untuk melaksanakan apa-apa aktiviti berbentuk pengawasan atau pemerolehan data.
3. Sistem Pesawat Tanpa Pemandu Melebihi 20 kg
Apa-apa jenis pesawat tanpa pemandu yang mempunyai jisim melebihi 20 kg termasuk apa-apa barang atau peralatan yang dipasang di dalam atau pada pesawat ketika permulaan penerbangan.
Tugas CAAM adalah untuk memastikan sebarang UAS yang mempunyai jisim melebihi 20 kg mendapat kebenaran terlebih dahulu sebelum diterbangkan. Begitu juga untuk pesawat pengawasan kecil tanpa pemandu di dalam keadaan berikut:
• Di atas mana-mana kawasan yang ditetapkan bermaksud mana-mana kawasan yang digunakan untuk tujuan kediaman, komersial, perindustrian atau rekreasi.
• Dalam lingkungan 150 meter dari mana-mana kawasan yang ditetapkan.
• Mana-mana perhimpunan di kawasan terbuka yang mempunyai lebih daripada 1,000 orang.
• Dalam lingkungan 50 meter daripada mana-mana kapal, kenderaan atau struktur yang tidak berada di bawah kawalan orang yang menjaga pesawat.
• Dalam lingkungan 50 meter daripada orang ramai.
Dalam lingkungan 30 meter daripada orang ramai semasa pesawat berlepas atau mendarat.
Selain itu, pesawat tanpa pemandu juga perlu mendapat kebenaran bagi sebarang kerja udara. Kerja udara termasuk operasi-operasi seperti berikut:
• Aktiviti pertanian
• Pembinaan
• Fotografi
• Tinjauan
• Pemerhatian dan rondaan
• Mencari dan menyelamat
• Iklan udara dan lain-lain aktiviti yang sama
Cara Memohon Kebenaran
Jika aktiviti atau penggunaan dron anda termasuk dalam kategori yang memerlukan kebenaran, anda boleh memohon kebenaran dengan menghantar borang permohonan kepada drone.atf@caam.gov.my
Borang permohonan pula boleh dimuat turun melalui pautan berikut:
https://www.caam.gov.my/sectors-divisions/flight-operations/unmanned-aircraft-system-uas/
Anda juga perlu membayar yuran yang ditetapkan sebanyak:
• RM1000 bagi sistem pesawat tanpa pemandu melebihi 20 kg
• RM250 bagi pesawat pengawasan kecil tanpa pemandu